Lihat pula semalam dan kelmarin, seluruh minggu, sepanjang hari dalam sebulan dan sepanjang tahun. Bilakah dan berapa kalikah kita solat subuh berjemaah di masjid?
Kalau kita jarang atau tak pernah solat subuh berjemaah, sekurang-kurangnya punca masalah ini adalah masalah pada diri kita; yakni malas.
Sementara masalah terbesar yang menjadikan seseorang itu jarang atau tak pernah solat subuh berjemaah ialah kerana adanya sifat nifaq. Inilah yang terjadi kepada orang-orang munafiq pada zaman Rasulullah SAW dan pada zaman berikutnya.
Ya, moga-moga kita bukan munafiq tetapi hanya malas.
Pada zaman Rasulullah, orang munafiq memang payah nak bersolat berjemaah Subuh dan Isyak. Demikianlah yang tersebut dalam hadis:
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0610)
Sikap malas bangun awal pagi sebelum subuh sehingga terlepas solat subuh berjemaah berlaku kerana pelbagai sebab. Berikut antara sebab-sebabnya:
1. Tak mahu ikut jadual waktu yang Allah tetapkan. Contohnya, walaupun subuh masuk pukul 5.40 pagi, kita tetap hanya akan bangun pada pukul 6.00 pagi kerana itu jadual bangun pagi kita.
2. Terbiasa bangun lepas masuk subuh daripada kecil lagi. Setelah remaja, dewasa dan tua, payah juga nak buang tabiat ini, ditambah lagi orang lain pun sama sahaja. Buktinya, jumlah mereka yang hadir solat subuh berjemaah di masjid boleh dibilang dengan jari.
3. Tidak ada pun niat dan azam untuk bangun awal pagi dan solat subuh berjemaah. Tak ada pun dalam agenda harian. Tak rasa bersalah pun. Tak peduli pun. Slogan tersiratnya ialah "what a big deal"?
4. Tidur lewat malam. Tak kira sama ada kerana bergebang di kedai kopi, menonton TV, berborak, berinternet dan sebagainya. Tidur lewat maka payahlah nak bangun pagi awal-awal sebelum subuh.
5. Takut mengantuk masa kerja kalau bangun awal sangat, takut sangat terkurang tempoh masa tidur sampai rela lepaskan solat subuh berjemaah di masjid.
6. Ada yang memegang prinsip "yang penting aku dah solat subuh walaupun seorang diri".
7. Tak tahu pun solat subuh berjemaah di masjid tu amat besar pahalanya.
8. Kalau tahu pun solat subuh berjemaah di masjid tu amat besar pahalanya, tak kuat pula hati membenarkan balasan pahalanya.
9. Tidak ada dalam hatinya menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan kecuali sekadar beriman. Ertinya orang ini sebenarnya tak berapa kenal Rasulullah SAW kerana tidak pernah serius ambil tahu pasal Baginda.
10. Tak besungguh nak bangun subuh. Tak tetapkan pun alarm telefon atau jam supaya mudah bangun sebelum subuh.
11. Tak takut berperangai sama seperti orang-orang munafiq zaman Rasulullah SAW yang sukar nak datang solat subuh dan isyak berjemaah.
Kepada mereka yang gemar tidur lewat malam, eloklah merenung hadis berikut:
Dari Sayyar bin Salamah r.a., katanya: "Dan beliau (Rasulullah SAW) tidak menyukai tidur sebelum solat Isyak , dan bercakap-cakap sesudahnya." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0309.)
Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat-sahabatku, marilah sentiasa tanamkan dalam hati kita 3 sifat ini (yang tersebut dalam hadith di atas) agar 'kemanisan iman' itu benar-benar dirasai.
Mengapa perlunya kemanisan iman? Kerana dengan kemanisan iman, kita tidak pernah mengeluh dengan keletihan dan kepenatan dalam berdakwah. Dengan kemanisan iman, kita sentiasa redha dan tawakkal dengan semua ujian yang Allah berikan kepada kita. Dengan kemanisan iman, kita sentiasa bersiap siaga untuk Islam.
Kadang kala, kita terasa penat dan lemah dalam berdakwah. Kadang kala kita merasakan yang kita telah banyak menyumbang untuk Islam tetapi apa yang kita dapat hanyalah keletihan, kesedihan dan sebagainya. Kadang kala mad'u kita kelihatan seperti tidak menghargai apa yang kita kongsikan. Kadang kala sahabat-sahabat lain pun kurang acknowledge kerja kita.
Tetapi ingatlah, kerja dakwah ini bukan kerja dengan manusia tetapi kerja dengan Allah. Dengan kemanisan iman, hanya kepada Allah kita meletakkan sepenuh pengharapan. Dengan kemanisan iman, kita akan sentiasa yakin dan percaya dengan 'the hidden blessings' yang Allah janjikan.
"Maka tidak seorang pun mengetahui apa yg disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yg mereka kerjakan" [32:17]
Marilah sama-sama kita bermujahadah menuju kepada kemanisan iman dalam beramal. Mudah-mudahan hati kita sentiasa tenang dan redha dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.Empat perkara yang harus difikirkan sebelum bersolat supaya solat diterima oleh Allah.
Perkara-perkara disebutkan di bawah ini adalah petikan dari kitab Kuliah Subuh karangan al-Marhum Syed Ahmad Semait. Beliau berkata, Imam al-Murzabani Rahimahullah alaihi membincangkan tentang syarat-syarat solat yang sempurna, perkara tersebut adalah:
01.Hadir hatinya
Sesiapa yang solat dengan masih mempunyai fikiran yang tidak fokus maka mereka adalah penyembah yang lalai.
02.Bersaksi akalnya
Sesiapa yang solat dengan akalnya tidak memerhatikan setiap gerak-geri dalam solat tersebut maka mereka adalah penyembah yang pelupa.
03.Khudu' خضوع (menerima) kepada rukun-rukunnya
Sesiapa yang solat tanpa khudu', atau mengamati dan fokus pada setiap rukun-rukun dan bacaan dalam solatnya, maka orang itu adalah penyembah yang kering.
04. Kusyu' خشوع (menghormati) segala anggotanya
Sesiapa yang solat tanpa khusyu' anggotanya; iaitu setiap dari anggotanya bersolat seiring dengan hati dan fikiran yang redha kepada Allah, maka orang itu adalah penyembah yang salah.
Semoga bersama kita mendapat ganjaran solat-solat yang diterima Allah. Amin.
Wallahu a'lam.
~Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua-dua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud, maka akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu" [H.R.Attabrani]~
